Macau Scam: Lebih RM3.59 juta hilang dari akaun Tabung Haji

Bukit Aman mendedahkan sindiket penipuan Macau Scam telah berjaya membuat pengeluaran wang daripada akaun Tabung Haji yang dihubungkan dengan akaun bank konvensional milik mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kemudahan fasiliti perbankan Internat oleh Tabung Haji bersama bank-bank komersial lain telah membolehkan perkara itu berlaku.

Setakat ini katanya polis menerima laporan 65 kes kehilangan wang dalam akaun Tabung Haji membabitkan nilai RM3.59 juta berlaku dalam kalangan mangsa sindiket penipuan Macau Scam, baru-baru ini.

“Siasatan mendapati mangsa terlibat telah memberikan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali melalui telefon.

“Akibatnya tidak hanya wang dari akaun bank mereka yang hilang, namun wang dari akaun Tabung Haji yang dihubungkan bersama akaun bank tersebut turut hilang.

“Setakat ini, 65 kes sebegini telah dikesan melibatkan kerugian RM3,599,275.46,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya berdasarkan siasatan yang dijalankan, dalang kepada kegiatan itu adalah sindiket Macau Scam yang akan membuat panggilan kepada mangsa dan menakutkan mangsa dengan dakwaan jenayah, tunggakan kad kredit atau lain-lain.

“Kononnya bagi tujuan siasatan, sindiket kemudiannya akan meminta mangsa untuk mendedahkan maklumat perbankan mereka,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata, walaupun orang ramai sudah terlalu kerap diingatkan agar jangan sesekali memberikan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali, masih ramai yang menjadi mangsa penipuan.

“Justeru, pesanan sedemikian akan terus disampaikan dalam usaha mengelakkan orang ramai terus menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

“Untuk mendapatkan sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR