
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mempunyai kuasa sama ada untuk meluluskan atau tidak pindaan perlembagaan yang dicadangkan UMNO, kata ahli veteran parti itu Tan Sri Annuar Musa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata beliau faham bahawa RoS terpaksa mengambil masa untuk membuat keputusan berkenaan kerana ia melibatkan implikasi undang-undang.
“RoS dia ada kuasa. Jadi kami tunggu RoS buat keputusan dan kami mendoakan… saya secara peribadi, harap RoS meluluskan apa yang telah (diluluskan) oleh Perhimpunan Agung Khas UMNO,” kata Ketua Bahagian UMNO Ketereh.
Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau harga barangan di Pasar Ketereh, di Terengganu, hari ini.
Sehingga semalam, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan RoS belum memberi keputusan terhadap permohonan pindaan Perlembagaan UMNO selepas notis itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei.
RoS dalam kenyataan ringkas kepada Bernama pada 7 Julai lepas memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya hari ini.
UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum, untuk memberi ruang kepada ahli fokus kepada gerak kerja pilihan raya.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga A Parlimen Ketereh berharap RoS akan meluluskan permohonan pindaan itu.
Katanya RoS sudah mengambil masa cukup lama iaitu dua bulan untuk membuat keputusan berhubung permohonan UMNO berkenaan.
“Sebagai orang UMNO, parti UMNO dah buat keputusan (pinda perlembagaan) …Maka kami semua ahli-ahli parti mendukung keputusan parti dan kami semua mengharapkan RoS meluluskanlah,” katanya.