
Lukisan awal tiga gadis bogel sudah diubahsuai. - Gambar FB
Nampaknya ‘la maja desnuda’ (The Nude Maja) yang dilukis sebagai mural di dinding Balai Seni Sasaran yang terletak di Kampung Sungai Buloh, Kuala Selangor sudah berubah menjadi ‘la maja vestida’ (The Clothed Maja).
Selepas tular lukisan itu dalam media massa, penganjur kemudian mendakwa kononnya lukisan yang menampakkan gadis berbogel itu adalah pada peringkat awal sahaja sebelum dilukis pakaian mereka.
Bagaimanapun Agenda Daily percaya lukisan gadis bogel itu diubahsuai semula selepas ianya mendapat perhatian penduduk tempatan, khususnya di Kampug Sungai Buloh.

‘La maja desnuda’ (atas) dan ‘la maja vestida’.
Sejak selepas waktu berbuka puasa hingga tengah malam tadi penduduk berkumpul di sekitar balai seni berkenaan melihat gambar mural itu dan meminta pihak berkuasa terutama Majlis Daerah Kuala Selangor bertindak.
Untuk makluman, ‘la maja vestida’ adalah lukisan pendamping kepada ‘la maja desnuda’ hasil ilham Francisco Goya yang menggambarkan seorang wanita berpakaian berbaring di atas katil.
‘La maja desnuda’ pula menggambarkan wanita yang sama tidak berpakaian baring dalam kedudukan yang sama. Kedua-dua lukisan itu kini ditempatkan di Muzium Prado di Madrid, Sepanyol.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli mengakui menerima banyak aduan berhubung lukisan mural itu.
“Bagaimanapun lukisan mural tersebut yang tidak manis dipandang adalah masih dalam proses untuk disiapkan,” katanya sambil berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin terhadap perkara sedemikian.