Lorong kanan antara Putrajaya ke Plaza Tol Putrajaya/Lebuh raya ELITE di KM2.2 hingga KM2.0 (Arah Utara) di Lingkaran Putrajaya akan ditutup selama 21 hari kepada semua kenderaan mulai 29 Mac sehingga 19 April untuk kerja penyelenggaraan jalan.
Plus Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan lorong kiri dan laluan kecemasan di lebuh raya berkenaan bagaimanapun, masih boleh dilalui semua kenderaan.
Sehubungan itu, PLUS menasihatkan pengguna jalan raya yang menghala ke Plaza Tol Putrajaya/Lebuh raya ELITE supaya merancang perjalanan dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapat maklumat trafik terkini melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan.
Pengguna lebuh raya juga boleh mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS pada aplikasi berkenaan.
PLUS juga menasihatkan pelanggan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan PLUS ketika melalui kawasan penyelenggaraan terbabit.