Lonjakan Latif, aksi Liek Hou pastikan kibaran Jalur Gemilang: Muhyiddin

Aksi Abdul Latif Romly dan Cheah Liek Hou, dua atlit paralimpik Malaysia, meraih emas memastikan lagu Negaraku dan Jalur Gemilang berkibar di bumi Tokyo, kata bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memuat naik ucapan tahniah dalam Facebook beliau malam tadi, Muhyiddin berkata dua pingat emas itu menjadi detik gemilang kontinjen Malaysua sebelum Sukan Paralimpik Tokyo 2020 berakhir.

“Dua pingat emas yang menjadi milik Malaysia hari ini menerusi Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly pastinya menjadi detik gemilang kepada kontinjen negara sebelum Sukan Paralimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirainya esok.

“Aksi mengagumkan Liek Hou di gelanggang badminton dan lompatan memukau Abdul Latif dalam final lompat jauh memastikan lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar megah di bumi Tokyo.

“Syabas Liek Hou dan tahniah buat Abdul Latif serta seluruh kontinjen negara. Demi Malaysia, anda semua adalah wira kebanggaan negara,” kata bekas Perdana Menteri.

Tampil sebagai juara bertahan, Latif yang berusia 24 tahun berjaya mengekalkan emas yang dimenanginya lima tahun di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter (m) pada percubaan kedua dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Sementara jaguh badminton para, Liek Houpula  mencipta sejarah dengan menjadi pemain pertama negara memenangi pingat emas dalam sukan itu di Sukan Paralimpik 2020 dan kedua buat Malaysia di Tokyo.

Liek Hou yang beraksi bagi kategori SU5 cemerlang apabila menewaskan pemain nombor satu dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi.

BERITA BERKAIT
POPULAR