Lonjakan Covid-19: Semua Klinik Kesihatan dalam kesiapsiagaan

Kementerian Kesihatan (KKM) mengaktifkan semula semua Klinik Kesihatan (KK) dan diletakkan dalam keadaan siap siaga, bagi menangani pesakit susulan lonjakan penularan Covid-19, terutama varian Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata terdapat 370 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di KK dan di komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat penilaian pesakit positif Covid-19, setakat hari ini.

Selain itu, katanya, pejabat kesihatan daerah (PKD) akan sentiasa mengenal pasti KK dan dewan orang ramai yang sesuai untuk menambah bilangan CAC bagi menampung pertambahan kes Covid-19 jika terdapat keperluan.

Beliau berkata KKM turut menyarankan fasiliti kesihatan swasta untuk bertindak sebagai CAC swasta.

“CAC berfungsi bagi mengenal pasti pesakit memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah, menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan.

“Selain itu, mengenal pasti dan menyelaras pesakit perlu dirujuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital serta menjalankan penilaian dan pelepasan bagi kes positif yang tamat tempoh pengasingan,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama Khairy meminta orang ramai, terutama warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, mengambil suntikan penggalak bagi mengelak jangkitan lebih teruk susulan lonjakan penularan varian Omicron Covid-19.

Beliau juga memaklumkan KKM kini dalam proses membangunkan Covid-19 Clinical Care Pathway, bertujuan memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberi kepada pesakit berisiko tinggi pada peringkat lebih awal, ketika mereka bergejala ringan bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.

“Rawatan antiviral ini membabitkan pesakit di KK, CAC, PKRC dan hospital bagi pesakit yang dimasukkan ke wad. Rawatan akan dimulakan selepas bekalan ubat antiviral itu tersedia,” katanya.

Menurutnya warga emas berdepan risiko jangkitan teruk di mana sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus daripada 32,034 kes kematian akibat wabak itu sehingga semalam, membabitkan golongan berkenaan.

Beliau berkata, kira-kira satu juta atau 32 peratus warga emas dikenal pasti masih belum mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.

“KKM meminta supaya individu berusia 60 tahun ke atas segera mendapatkan dos penggalak dan boleh datang secara secara walk-in di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.

“KKM ingin memaklumkan sekali lagi, semua penduduk berusia 60 tahun ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac ini,” katanya.

Khairy juga memaklumkan sebanyak 3,233 daripada 9,776 katil di hospital digunakan bagi merawat kes Covid-19 dengan kadar penggunaan 33 peratus, peningkatan empat peratus berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pula sebanyak 14 peratus atau 116 daripada 850 katil disediakan, iaitu penurunan sebanyak satu peratus.

“Ketika ini kadar penggunaan katil Covid-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan. Kementerian Kesihatan setakat semalam sudah bersiap sedia dengan 120 Hospital Covid-19 masing-masing sembilan Full Covid-19 Hospital dan 111 Hibrid Covid-19 Hospital.

“Selain itu, sebanyak 43 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti 10,810 katil,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR