‘Long Tiger’ lolos lokap mahkamah

Polis giat memburu seorang lelaki etnik Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’ setelah dia melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor hari ini.

Abdul Hamim Ab Hamid, 32, dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada jam 11.55 pagi tadi sebelum perbicaraan kesnya bermula.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Mohd Fadhil Minhat berkata suspek dibawa dari Penjara Sungai Udang, Melaka semalam untuk perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan, berkaitan pemerasan.

“Bagaimanapun prosiding yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.

“Beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh sedang cuba melarikan diri apabila melihat dia keluar ke pintu utama mahkamah menuju ke pagar,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya empat anggota polis terbabit bersama pengawal keselamatan cuba mengejar suspek namun dia terus menuju ke semak berdekatan sebelum hilang dan gagal dikesan.

“Jarak suspek dan anggota polis terlampau jauh menyebabkan dia sukar diberkas. Suspek telah melalui kawasan semak berdekatan bersama gari di tangan.

“Oleh demikian kita mohon kerjasama orang ramai yang terlihat suspek atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh untuk segera hubungi polis.

“Bagi kes ini, beberapa anggota polis yang bertanggungjawab mengiringi suspek ke mahkamah juga akan disiasat mengikut Seksyen 233 kerana kecuaian,” katanya.

Mohd Fadhil berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada kesemua anggota tersebut terlibat dalam kejadian ini atau sebaliknya serta cara tertuduh meloloskan diri dari sel mahkamah.

Beliau berkata, tertuduh masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kini disiasat mengikut Seksyen 224 kanun sama kerana lari daripada tahanan.

“Suspek seorang lelaki botak dengan ketinggian lebih kurang 160 sentimeter dan berat sekitar 65 kilogram memakai baju pagoda serta berseluar coklat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak di talian 06-9781222, Hotline IPD Tangkak, 06-9785222 atau mana-mana IPD.

BERITA BERKAIT
POPULAR