
Datuk Lokman Noor Adam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 September 2022 kerana membuat hantaran jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan. - Gambar Agenda Daily
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini (1 September 2022) atas dua tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Lokman, 49, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Lokman didakwa memuat naik dua catatan Facebook berasingan, menghina dan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bersubahat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mensabitkan kesalahan Datuk Seri Najib Razak, menurut laporan NST.
Lokman didakwa memuat naik siaran media sosial itu pada 20 Ogos jam 11.16 malam dan 22 Ogos jam 10.28 malam.
Timbalan pendakwa raya Nadia Mohamad Izhar dan Iznina Hanim meminta mahkamah memerintahkan ikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan mengenakan perintah menyekatnya daripada membincangkan merit kesnya di media sosial.
Peguam Logen Eskandar kemudian merayu agar mahkamah mempertimbangkan untuk mengenakan jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan, memandangkan Lokman kini bekerja sebagai penjual sate dengan gaji tidak menentu dan mempunyai 11 anak untuk dijaga.
Hakim Nor Hasniah kemudian memerintahkan ikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 26 Sept untuk sebutan kes.
Semalam, Bukit Aman menerusi satu pemakluman menyatakan pertuduhan akan dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang disiasat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Dua kes itu membabitkan penghantaran video berniat jahat dan kenyataan menghina Kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia melalui akaun Facebook Lokman Noor Adam Official,” katanya Bukit Aman.
Lokman sebelum ini dilaporkan melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kerajaan sekarang dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan 12 tahun setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.