Lokman Adam diarah fail pembelaan kes vaksin sebelum 3 Mac

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 3 Mac ini dalam saman yang difailkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin terhadapnya berhubung isu vaksin Covid-19.

Peguam Norfazilah Jaafar, yang mewakili Lokman, ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah juga mengarahkan Khairy memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan itu pada 17 Mac.

“Selain itu, kedua-dua pihak perlu memfailkan permohonan interlokutari (jika ada) pada 21 Mac,” katanya selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Puteri Nursheila Rahimi hari ini, seperti dilapor Bernama.

Pada 17 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khairy supaya injunksi ex-parte yang diperolehnya pada 3 Februari 2022 dilanjutkan hingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 10 Mei depan.

Khairy, 46, yang menfailkan saman terhadap Lokman pada 25 Januari lalu, memohon perintah injunksi supaya defendan memadam kenyataan dan video bersama-sama kapsyen, tajuk dan komen dalam tempoh 24 jam serta injunksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula hantaran itu.

Beliau juga memohon perintah mahkamah agar defendan memadam kenyataan fitnah yang diterbitkan semula di semua portal berita dan akaun media sosial dalam tempoh 24 jam.

Ahli Parlimen Rembau itu, yang memfailkan saman atas kapasiti peribadi, mendakwa Lokman telah memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di laman Facebook Lokman Noor Adam Official pada 6 Jan lepas, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan YouTube Lokman Adam pada 10 Januari.

Khairy berkata kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga selain memalsukan maklumat berkaitan status vaksinasi.

Khairy mendakwa penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integriti beliau terjejas teruk selain mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasi beliau direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

BERITA BERKAIT
POPULAR