Lima negeri beralih ke Fasa Dua PPN mulai Isnin

Carta Pelan Pemulihan Negara.

Lima negeri – Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis – akan beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Isnin ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata sehingga semalam kelima-lima negeri berkenaan memenuhi semua nilai ambang dan mencatatkan liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

Katanya, kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan kepada pesakit Covid-19 di negeri berkenaan turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di ICU pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

“Selepas kerajaan bersetuju meluluskan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dibuat di peringkat negeri, tanpa menunggu kemajuan di peringkat Persekutuan, ada semakan tertentu terhadap nilai ambang yang dilakukan.

“Dua nilai ambang, iaitu masing-masing bagi liputan vaksin dan katil ICU masih sama seperti digunakan di peringkat Persekutuan, cuma yang berubah ialah kadar purata kes Covid-19.

“Justeru, perkiraan digunakan bagi mengukur kadar purata kes di peringkat negeri ialah nilai ambang fasa berikutnya didarab jumlah penduduk negeri dan dibahagi populasi di Malaysia.

“Oleh itu, menerusi perkiraan ini dan pertimbangan terhadap dua lagi nilai ambang, kita dapati lima negeri sudah memenuhi semua prasyarat untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Berdasarkan perangkaan semasa dari 1 Jun hingga 1 Julai lalu, beliau menjelaskan kebanyakan negeri merekodkan penyusutan mendadak purata kes Covid-19, dengan Terengganu mencatatkan kadar perubahan terbesar iaitu 86.1 peratus.

Tengku Zafrul berkata perubahan positif itu turut dilihat berlaku di Kelantan yang melakar pengurangan purata kes Covid-19 bagi tempoh sama sebanyak 83 peratus, disusuli Perlis (75 peratus), Pulau Pinang (57.4 peratus), Kedah (53.3 peratus), Johor (48.4 peratus) dan Putrajaya (40.5 peratus).

“Secara keseluruhan, sembilan negeri sudah melepasi nilai ambang kes purata Covid-19 untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang dan Perak.

“Sabah dan Terengganu pula sudah beralih ke fasa ketiga, bersandarkan nilai ambang purata kes Covid-19, manakala hanya Perlis yang mengecapi fasa keempat,” katanya.

Beliau berkata jika diteliti nilai ambang bagi liputan vaksin pula, sembilan negeri dan semua Wilayah Persekutuan sudah mencukupi syarat untuk beralih ke Fasa Dua PPN.

“Negeri berkenaan ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Sarawak, selain Putrajaya, Labuan serta Kuala Lumpur,” katanya.

Tengku Zafrul berkata keputusan untuk membenarkan peralihan mengikut peringkat negeri diharap berupaya menjadi insentif dan galakan ke arah membasmi penularan pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, beliau meletakkan harapan untuk negeri lain mengikuti jejak langkah sama, dengan melakar kemajuan dan memenuhi tiga nilai ambang seperti digariskan dalam PPN.

Kepada soalan sama ada negeri yang mencatatkan peningkatan kes purata Covid-19 dan penyusutan kapasiti katil ICU akan diturunkan kedudukan fasa, Tengku Zafrul menjelaskan perkara itu akan dibincangkan secara lebih lanjut dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perkara ini akan dibentangkan dulu dalam Jawatankuasa Teknikal MKN sebelum diperhalusi di peringkat Sidang Khas MKN, sebelum pengumuman lanjut dibuat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peralihan fasa kedua bagi lima negeri berkenaan akan berkuat kuasa mulai Isnin ini.

Fasa kedua masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat dengan aktiviti sosial kekal ditutup dan sekatan pergerakan seperti mana fasa pertama.

Perbezaan utama antara fasa pertama dan kedua adalah dari segi kebenaran peningkatan kapasiti fizikal daripada 60 peratus kepada 80 peratus meliputi sektor dibenarkan selain penambahan beberapa sektor dalam senarai positif yang boleh beroperasi.

POPULAR