
Kejadian lima individu menyerang seorang ustaz dan pelajar tahfiz di Kuala Lipis 11 Ogos lalu turut tular di media sosial. - Gambar FB
Mahkamah Majistret Lipis hari ini (18 Ogos) menjatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000 masing-masing ke atas lima lelaki yang mengaku salah terhadap pertuduhan menceroboh pusat tahfiz dan mendatangkan kecederaan kepada seorang ustaz pada 11 Ogos lalu.
Wan Haris Wan Ismail, 38; Zulkifli Mohd. Nasir, 27; Azraen Che Mat Noor, 43; Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.
Memetik Utusan, dalam penghakimannya, Siti Aisyah memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara daripada tarikh mereka ditangkap.
Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh didapati bersalah dengan niat telah melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras di Lipis jam 5.10 petang, 11 Ogos lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
Siti Aisyah kemudian menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM2,000 serta tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda kepada semua tertuduh.
Sementara itu, pada prosiding yang sama, tiga tertuduh, Wan Haris, Zulkifli dan Azraen didapati telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, yang merupakan seorang tenaga pengajar di pusat tahfiz itu.
Ketiga-tiga mereka dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.
Siti Aisyah menjatuhkan hukuman kepada Wan Haris, Zulkifli dan Azraen juga terhadap Mohd Amirul dan Rizuwan lapan bulan penjara dan denda RM1,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam prosiding itu, Rifah Izzati meminta hukuman setimpal diberikan kepada kesemua tertuduh kerana kejadian itu telah menarik perhatian awam dan menimbulkan kemarahan masyarakat kerana perlakuan tersebut dilakukan di pusat tahfiz.