
Perbicaraan kes pecah amanah melibatkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (20 Julai) memberitahu mahkamah bahawa lima kertas siasatan dibuka ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Mohd Syahmeizy Sulong, pegawai yang menyiasat pertuduhan pecah amanah (CBT) yang dihadapi Syed Saddiq dalam perbicaraan jenayah itu, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai siasatan berkenaan.
“Untuk siasatan ke atas Syed Saddiq, SPRM telah membuka lima kertas siasatan berbeza berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima,” katanya.
Tambahnya, ini adalah antara punca berlakunya kelewatan untuk mendakwa ahli Parlimen (MP) Muar itu di mahkamah.
“Sebab itu pertuduhan mengambil masa yang lama kerana saya perlu menyelaraskan kenyataan saksi dengan semua kertas siasatan lain dan masih ada (beberapa) siasatan yang sedang dijalankan,” katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Persetujuan untuk mendakwa – yang diperlukan untuk menuduh bekas Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu di mahkamah – dikeluarkan Wan Shaharuddin pada 4 Januari tahun lepas. Syed Saddiq bagaimanapun hanya didakwa pada 22 Julai 2021.
Wan Shaharuddin berkata beliau mengemukakan soalan itu untuk “kebaikan semua” kerana terdapat dakwaan bahawa pertuduhan itu adalah konspirasi politik yang membawa kepada kemungkinan penangguhan.
Saksi ke-25 pendakwaan berkata beliau hanya bertanggungjawab menyiasat pertuduhan CBT di mana Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Rafiq Hakim Razali dalam melakukan CBT membabitkan RM1 juta dana milik Pemuda Bersatu.
BERITA LANJUT MENYUSUL