
Hampir tiga perempat daripada jumlah iklan pekerjaan dalam talian pada suku keempat 2021 tertumpu di Kuala Lumpur iaitu 80,478 pekerjaan, diikuti Selangor (34,050) dan Johor (14,470).
Penawaran jawatan kosong yang diiklankan secara dalam talian pada suku keempat tahun lepas berjumlah 190,436, peningkatan ketara sebanyak 143.2 peratus berbanding 78,303 yang direkodkan pada suku yang sama 2020.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan perbandingan suku tahunan, beliau berkata jumlah itu rendah sedikit berbanding 192,480 jawatan kosong yang diiklankan pada suku ketiga 2021, lapor Bernama.
“Pada asas bulanan pula, bilangan jawatan kosong dalam talian yang diiklankan tertinggi adalah pada Disember iaitu 76,193, manakala Oktober dan November masing-masing sebanyak 73,230 dan 41,013,” katanya dalam satu kenyataan susulan laporan landskap penawaran pekerjaan di Malaysia bagi suku ketiga dan keempat 2021, hari ini.
Bagi sepanjang 2021, Mohd Uzir berkata jumlah pekerjaan yang diiklankan dalam talian meningkat lebih dua kali ganda daripada 221,384 pada 2020 kepada 536,636 pada 2021.
Mengenai kategori pekerjaan pula, Mohd Uzir berkata majoriti pekerjaan yang ditawarkan dalam talian dalam suku keempat tahun lepas adalah untuk pekerja kategori profesional sebanyak 43.1 peratus, diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (18.4 peratus) dan pengurus (12.6 peratus).
Katanya lima pekerjaan paling popular ditawarkan sepanjang tempoh tersebut adalah profesional pengiklanan dan pemasaran; profesional bersekutu pentadbiran; pengarah urusan dan ketua eksekutif; akauntan dan juruaudit; dan pembangun perisian.
Mohd Uzir berkata hampir tiga perempat daripada jumlah iklan pekerjaan dalam talian pada suku keempat 2021 tertumpu di Kuala Lumpur iaitu 80,478 pekerjaan, diikuti Selangor (34,050) dan Johor (14,470).
Menurutnya daripada perspektif sektor ekonomi, sektor perkhidmatan dan pembuatan adalah yang paling ketara menawarkan pekerjaan dalam suku keempat tahun lepas.
“Tiga subsektor perkhidmatan teratas yang menyiarkan jawatan kosong dalam talian dalam tempoh yang sama ialah perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor, profesional, saintifik dan teknikal, dan aktiviti kewangan dan insurans atau takaful.
Pada suku keempat 2021, lima pekerjaan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) teratas yang diperlukan ialah juruteknik, pereka grafik, jurutera perisian, pengurus projek dan penyelia tapak, katanya.
Dari segi kategori Teknikal, Pendidikan Vokasional dan Latihan (TVET) pula katanya profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pembangun perisian, profesional pentadbiran dan kerani am merupakan lima pekerjaan tertinggi yang ditawarkan pada suku keempat 2021.