LHDN nafi terlibat dalam penjualan data pelanggan

Dakwaan mengaitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam penglibatan penjualan data peribadi secara dinafikan agensi pemungut cukai tersebut hari ini.

Dalam satu kenyataan, LHDN berkata tidak mempunyai sebarang kaitan dalam urusan penjualan data pelanggan kepada pihak luar seperti didakwa, malah menegaskan ia hanyalah pengguna sistem MyIdentity dan bukannya pemilik sistem yang didakwa berlaku kebocoran data itu.

“Siasatan dalaman telah dijalankan dan mendapati tidak berlaku sebarang kebocoran data dan maklumat seperti yang didakwa.

“LHDN juga sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi melihat semua kemungkinan berkenaan dakwaan ini.

“LHDN memberikan jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDN adalah selamat kerana ia dilindungi dengan teknologi keselamatan data yang diiktiraf,” katanya.

LHDN menggesa orang ramai agar berhati-hati dengan tipu daya dan mendesak mereka untuk menghubungi LHDN melalui telefon (03-8911 1000 / 03-8911 1100) atau melalui laman web mereka.

Awal hari ini, sebuah blog teknologi lowyat.net melaporkan data peribadi yang didakwa diperoleh melalui sistem MyIdentity dijual dalam talian dengan harga 0.2 BTC (kira-kira RM35,030.79 pada masa penulisan).

Set data ini diiklankan di forum dalam talian yang terkenal dengan penjualan maklumat peribadi yang dicuri dari seluruh dunia.

Berdasarkan sampel yang ditunjukkan oleh penjual, set data tersebut dikatakan mengandungi tarikh lahir, e-mel, jantina, alamat surat-menyurat, nombor telefon, nombor MyKad, alamat tetap, bangsa dan agama dalam format ‘json’.

Penjual tersebut mendakwa bahawa data – yang melibatkan 4 juta entri – diperoleh dari “myIdentity API” melalui laman web LHDN.

Dalam pada itu, pihak polis kini sedang sedang berusaha untuk menyekat cubaan menjual berjuta-juta maklumat peribadi yang dikatakan dicuri dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, tindakan itu adalah langkah pertama diambil oleh pihak polis setelah mengetahui perkara itu semalam.

Katanya, pihak polis juga sedang mengenal pasti individu yang terlibat dalam dakwaan membocorkan maklumat itu dan tidak menolak kemungkinan penglibatan ‘orang dalam’.

“Kita sedang usaha untuk block. Tindakan awal block sebelum dapat kenal pasti (individu bertanggungjawab), yang itu kita akan buat serta merta,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur.

BERITA BERKAIT
POPULAR