
Mereka yang positif Covid-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap masih tidak dibenarkan masuk ke premis.
Rundingan yang sedang berjalan antara kerajaan dengan pengendali aplikasi, MySejahtera berhubung pembayaran kontrak menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah lebih rendah berbanding RM338.6 juta.
Khairy berkata tidak ada apa yang hendak disembunyikan kerajaan berhubung kontroversi melibatkan MySejahtera seperti yang didakwa serta menjelaskan rundingan masih berjalan dan asas kontrak akan dimaklumkan selepas semuanya selesai.
“Tiada apa yang nak disembunyikan. Kita masih berunding dan apabila selesai, kita akan maklumkan asas kontrak. Tapi saya perlu tetapkan perkhidmatan yang diberikan.
“Mengenai jumlah yang dipersetujui dengan Entomo, ia tiada kaitan dengan rundingan bersama kerajaan. Saya boleh maklumkan bahawa jumlah yang dirunding dengan MySejahtera adalah jauh lebih rendah berbanding RM338.6 juta,” katanya dipetik laporan media.
Untuk rekod, MySejahtera yang perkhidmatanya mula ditawarkan oleh KPISoft, kini ditukar nama kepada Entomo Malaysia Sdn Bhd.
Namun, baru-baru ini Portal CodeBlue melaporkan Entomo Malaysia pada Oktober tahun lalu melesenkan penggunaan perisian MySejahtera kepada MySJ Sdn Bhd hingga 2025 untuk terma kontrak bernilai RM338.6 juta.
Mengulas pemindahan hak milik pelesenan itu, Khairy berkata sedang diperhalusi menerusi prosiding kehakiman dan tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan.
Selain itu, beliau sekali lagi menegaskan data peribadi dan aplikasi MySejahtera masih milik kerajaan, dengan rundingan ke arah menukar status platfrom berkenaan daripada dibangunkan dan ditawarkan secara CSR sebelum ini, kepada ‘aplikasi tetap’ giat dijalankan.
“Saya bawa perkara ini ke Jemaah Menteri. Saya kata kita perlu ada satu kontrak yang ditandatangani bersama, antara kerajaan dan syarikat yang mengendalikan platform ini.
“Itulah bermulanya rundingan dengan pihak KPISoft, lepas itu mereka maklumkan tukar nama dan bagi lesen kepada MySJ untuk kendalikan platform berkenaan.
“Justeru, kerajaan mula pula bincang dengan MySJ sebab lesen sudah dipindah milik. Sekarang kerajaan dalam peringkat perbincangan dengan MySJ mengenai melangkah ke depan khususnya membabitkan aspek penyelenggaraan platform.
“Kalau mereka tidak setuju bahawa MySejahtera dimiliki oleh kerajaan, kecuali mungkin platform tertentu yang memerlukan ‘soft scope’ (penelitian terperinci) mereka dan sebagainya, maka kita tidak akan teruskan dengan perjanjian itu,” katanya lagi.