Lepas rakyat kecam, Najib koyak, tarik balik permohonan hartanah

Jika tidak didedahkan, sudah tentu hartanah di Bukit Petaling bernilai RM100 juta sudah jatuh ke tangan Datuk Seri Najib Razak, walaupun beliau layak memperolehnya atas ketetapan akta yang diperuntukkan sebelum ini.

Selepas dikecam hebat rakyat Malaysia berhubung permohonannya mendapatkan sebidang tanah dianggap ‘hartanah emas’ di Kuala Lumpur, Najib hari ini, menarik balik permohonannya.

Memberi alasan untuk mengelak permohonan beliau kepada kerajaan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi isu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bekas Perdana Menteri (PM) itu juga mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya menjualnya pula.

“Kini saya berputus untuk tarik balik permohonan saya untuk kediaman tersebut. Sebab saya tidak mahu isu ini digunakan sebagai modal PRN kempen Melaka.

“Jadi, apa lagi modal propaganda kempen Melaka korang selepas ini? Apakah tawaran korang kepada orang Melaka selain “Najib, Najib dan Najib”?,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Najib yang ketika menjadi PM sebelum ini didakwa menjual beberapa aset kerajaan, juga mencadangkan supaya hartanah yang dimohonnya itu dijual sekiranya benar-benar bernilai RM100 juta.

“Dan sekiranya tanah dan kediaman tersebut benar-benar bernilai RM100 juta, saya saran Menteri Kewangan untuk jual,” katanya sambil menyindir Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkaitan pengeluaran one-off Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dilihat menggalakkan orang ramai terus berhutang, Najib berkata, dana RM100 juta hasil jualan hartanah itu boleh dimasukkan ke dalam tabung khas untuk diberi sebagai pinjaman tanpa faedah atau kos perkhidmatan kepada pemohon yang meminta i-Citra dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Terdahulu, rakyat Malaysia mengecam dan mengutuk tindakan bekas PM ke-enam itu yang memohon sebidang tanah di Bukit Petaling pada 2018 lalu, tetapi mula terdedah kelmarin, sehingga turut mendapat ulasan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menggelar Najib sebagai banduan.

“Bajet ini berkenaan dengan hadiah kepada Najib iaitu rumah bernilai RM100 juta kerana kononnya jasanya kepada negara. Ini tidak disebut kerana setakat yang kita tahu, dia adalah seorang pesalah yang dihukum 12 tahun penjara dan denda lebih RM200 juta.

“Inikah jasa yang kerajaan yang ada ini nak balas budi. Akan datang nanti, Perdana Menteri akan curi duit kerana dapat tambah duit lagi. Duit yang dicuri juga diberi balik,” kata Dr Mahathir.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati Najib bersalah dalam kes melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Najib kini berdepan kes mahkamah antaranya empat pertuduhan rasuah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

BERITA BERKAIT
POPULAR