Lepas gagal ketepi Sri Ram, Rosmah mohon tukar hakim pula

Selepas gagal mengetepikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya adhoc dalam kesnya, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memohon agar Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, ditukar.

Dalam notis permohonan yang difailkan 2 November lalu, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu memberi alasan hakim berkenaan pada 21 Oktober lalu membenarkan keterangan yang dirakam sewaktu siasatan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai diguna pakai dalam perbicaraan kes rasuah berkaitan projek solar hibrid yang dihadapi Rosmah.

Rosmah bimbang dia akan diprejudiskan pada perbicaraan membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram melebihi RM7 juta dan pengelakan cukai, dihadapan Hakim Mohamed Zaini.

“Keterangan dan eksibit-eksibit telah dikemukakan di dalam perbicaraan kes solar yang mana ia secara langsung dan tidak langsung boleh mempengaruhi Hakim Mohamed Zaini sekiranya mendengar kes ini.

“Pemohon mempunyai hak untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil dan adalah dilindungi sebagai hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Hak ini akan diprejudiskan secara teruk dan menjadi sia-sia sekiranya Hakim Mohamed Zaini mendengar perbicaraan kes (pengubahan wang haram) ini,” katanya dipetik daripada laporan utusan hari ini.

Pada 18 Februari lalu, Hakim Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah membela diri atas tuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah kini sedang disoal balas oleh Sri Ram pada perbicaraan kes rasuah solar. Perbicaraan itu akan bersambung pada 8 Disember ini.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah turut didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Perbicaraan bagi kes pengubahawan wang haram dan gagal menyerahkan penyata cukai akan bermula 14 Disember ini.

24 September lalu, Rosmah gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan kes solar yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini membuat keputusan itu selepas menolak

BERITA BERKAIT
POPULAR