Lengkapkan vaksin sebelum 1 Nov elak dikenakan tindakan: JPA

Penjawat awam perlu melengkapkan vaksinasi Covid-19 masing-masing sebelum 1 November ini bagi mengelak tindakan diambil.

Perkara itu dibangkitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, semua penjawat awam di negara ini adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].

Beliau berkata, ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksinkan adalah kecil berbanding majoriti penjawat awam yang telah melengkapkan vaksinasi mereka.

“Namun, keengganan kelompok kecil ini tetap memberi implikasi terhadap program vaksinasi kerajaan.

“Malah, ia juga menggambarkan imej negatif penjawat awam secara keseluruhannya selain menjejaskan penyampaian perkhidmatan kita,” katanya dipetik laporan media.

Beliau terdahulu menghadiri majlis perhimpunan bulanan JPA.

Katanya, penjawat awam seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab dalam menyokong usaha kerajaan dan memberi keyakinan kepada orang ramai, akan keberkesanan program vaksinasi yang dijalankan.

Mohd. Khairul Adib berkata, program vaksinasi ini penting memandangkan perkhidmatan kerajaan kini dibuka pada tahap pengoperasian penuh.

Sementara itu, Mohd. Khairul Adib berkata, slogan Keluarga Malaysia dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selari dengan peranan penjawat awam dalam membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera.

Menurutnya, bagi perkhidmatan awam, semangat persaudaraan dan kerjasama kesemua penjawat awam harus digembleng dan disepadukan ke arah mengukuhkan penyampaian perkhidmatan.

“Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mempunyai fungsi dan peranan masing-masing serta saling melengkapi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Nilai-nilai positif yang terdapat dalam latar belakang berbeza ini seharusnya dijadikan sebagai suatu faktor yang mengikat penjawat awam semua menjadi sebuah Keluarga Perkhidmatan Awam,” katanya.

Katanya, setiap penjawat awam harus menggenggam semangat Keluarga Malaysia sebagai konsep penting dalam mengatur serta melaksanakan strategi untuk memulihkan semula ekonomi negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR