
Pecahan kes baharu mengikut negeri dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari 25 September 2021. - Sumber KKM
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun kembali kepada 13,899 kes, berbanding 14,554 kes yang direkodkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes positif sejak awal tahun lalu meningkat lagi kepada 2,185,131 kes.
Bagaimanapun, sehingga semalam jumlah kes Covid-19 yang masih aktif turun kepada 195,837 kes, susulan 1,950,467 pesakit sembuh.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), tujuh negeri mencatatkan peningkatan kes baharu berbanding semalam, dengan Selangor merekodkan 2,341 jangkitan, berbanding 2,244 kes semalam.
Kelantan juga mencatatkan peningkatan daripada 910 jangkitan semalam, kepada 1,170 kes hari ini, diikuti Pahang sebanyak 779 kes baharu (598 semalam).
Terengganu merekodkan 760 jangkitan baharu berbanding 690 semalam; Kuala Lumpur (310 hari ini, 271 semalam); dan Negeri Sembilan (194 hari ini, 157 semalam.
Jumlah kes baharu di Sarawak pula, walaupun jangkitan baharu turun hari ini, namun negeri itu kekal mencatat kes tertinggi dengan 2,712 kes berbanding 2,825 kes semalam