Lembah Klang bakal kembali jadi ‘hotspots’ Covid-19, kes melonjak

Lembah Klang bakal mengulangi status sebagai ‘hotspots’ Covid-19 di negara ini jika kes harian, terutama di Selangor, menyaksikan ianya kekal melonjak.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya, menyumbang 1,739 kes baharu Covid-19.

Dalam tempoh itu Selangor merekodkan jumlah tertinggi nasional sebanyak 1,401 kes berbanding 1,328 kes semalam, manakala Kuala Lumpur mencatat 309 kes berbanding 299 semalam, dan Putrajaya 29 kes baharu (44 semalam).

Sementara itu berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang COVIDNOW, kumulatif kes positif di Lembah Klang sejak awal tahun lalu hingga hari ini adalah sebanyak 910,442 kes. Sehingga semalam, seramai 881,783 pesakit dilaporkan telah sembuh.

Sehingga semalam, terdapat 18,364 kes aktif di Lembah Klang, dengan 15,309 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 1,626 ditempatkan di PKRC, 1,315 dirawat di hospital dan 114 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan 73 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, Lembah Klang mencatat 12,165 kematian, termasuk 2,711 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau brought in death (BID).

Sementara itu, selain Selangor dan Kuala Lumpur yang merekodkan peningkatan kes hari ini, Sabah, Sarawak dan Terengganu turut merekodkan pertambahan jangkitan baharu.

Sabah merekodkan 650 kes baharu hari ini berbanding 589 semalam, diikuti Sarawak (646 kes baharu, 566 semalam); dan Terengganu (266 kes baharu, 251 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata hanya dua kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 5,765 kluster dengan 5,327 telah ditamatkan dan 438 lagi masih aktif.

Menurutnya, dua kluster yang dikesan itu membabitkan kumpulan berisiko tinggi di Jalan Puncak Iskandar, Perak Tengah dengan seramai tujuh individu daripada 40 saringan disahkan positif.

Sementara satu lagi iaitu kluster tempat kerja iaitu Kluster Industri Batu Berendam 2 yang menular di tiga daerah membabitkan Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah dengan 148 individu daripada 370 yang disaring, dijangkiti Covid-19.

Beliau juga memaklumkan daripada keseluruhan 5,854 kes baharu hari ini, 79 pesakit atau 1.3 peratus melibatkan kategori 3, 4 dan 5, manakala 5,775 pesakit atau 98.7 peratus lagi adalah pesakit kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR