Lelaki pedajal kereta mangsa banjir Shah Alam kena tangkap

Polis menangkap seorang lelaki India berusia 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan mencuri sebuah kereta jenis Honda City, milik seorang mangsa banjir di Jalan Persiaran Perusahaan, Seksyen 23, di Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tangkapan dibuat susulan tular di media sosial berkaitan kejadian di mana pengadu mendapati kereta yang diletakkan di tepi jalan itu telah ditunda.

Menurutnya, siasatan mendapati pada 18 Disember lalu, pemilik kereta Honda City meletakkan kenderaannya dalam keadaan baik dan berkunci di tepi Jalan Persiaran Seksyen 23, Shah Alam disebabkan kawasan sekitar dinaiki air banjir.

“Pada 20 Disember kira-kira jam 8.45 malam pengadu mendapati keretanya telah berada di atas sebuah trak tunda dengan nombor pendaftaran WXC3048 atas nama Syarikat Sparks Motors Rescue Empire yang beralamat di No 40 Jalan Dato Dollah 2 Off Teluk Gadong, Klang,” katanya.

Beliau berkata pemandu trak tunda mendakwa disuruh menunda kereta milik isteri pengadu untuk dibawa ke bengkel.

“Pengadu sempat membuat pemeriksaan dan mendapati bateri kereta telah hilang, nombor pendaftaran depan dan belakang telah dipatahkan manakala pelekat sukai jalan juga hilang,” katanya.

Arjunaidi berkata pada 19 Disember, pengadu telah membuat kenyataan yang tular di media sosial berkaitan kejadian itu serta tampil membuat aduan polis setelah diminta berbuat demikian.

“Suspek direman dua hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR