
Penipuan pelaburan wang tidak wujud.
Seorang guru wanita kerugian hampir RM400,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam selepas mangsa menerima panggilan seorang lelaki mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejak pertengahan bulan lalu.
Guru berusia 36 tahun itu dikatakan terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram, justeru, bagi membersihkan namanya daripada dakwaan itu, mangsa sanggup membuat pinjaman bank.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan Superintendan Aibee Ab Ghani berkata mangsa diperdaya sejak 15 Mac lalu dan hanya menyedari ditipu pada Isnin lalu.
“Ketika berada di rumahnya di Nilai pada 15 Mac lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor 012-7947774 dan bercakap dengan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Zulhairi Mohamad Zaini daripada LHDN.
“Lelaki itu memaklumkan guru wanita berkenaan ada tunggakan cukai berjumlah RM38,000,” katanya dalam kenyataan.
Aibee berkata, mangsa kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan bercakap dengan seorang lelaki mengaku Sarjan David.
Katanya, Sarjan David memaklumkan kononnya berdasarkan semakan terhadap maklumat, mangsa didapati terbabit kes penyeludupan dadah dan bersekongkol dengan seorang lelaki bagi kes pengubahan wang haram.
“Mangsa disambung pula kepada Inspektor Richard dan pada masa sama, inspektor itu menghantar waran tangkap melalui WhatsApp dan meminta mangsa memberikan kerjasama.
“Mangsa kemudian bercakap dengan wanita dikenali sebagai Asisten Komisioner Wan Amina yang mengesahkan mangsa kononnya diburu.
Guru terbabit diminta membuat transaksi RM39,800 ke satu akaun tidak dikenali, kononnya bagi membersihkan namanya, selain bagi menjalankan siasatan wang mangsa sama ada daripada sumber bersih atau haram. Mangsa memindahkan wang pada hari sama,” katanya.
Aibee berkata, mangsa juga difahamkan memberikan maklumat akaunnya kepada sindiket sebagai satu daripada prosedur siasatan.
Beliau berkata, pada 18 April lalu, mangsa membuat semakan baki akaunnya dan mendapati wang lebih RM300,000 lesap dan sedar dirinya ditipu. Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa adalah RM394,358.
“Mangsa ada membuat pinjaman peribadi daripada tiga institusi perbankan kredit bagi menyelesaikan masalah dihadapinya seperti dakwaan sindiket.
“Sebenarnya mangsa percaya panggilan diterima daripada agensi kerajaan yang sah menyebabkan dia mengambil masa sehingga sebulan sebelum tersedar diperdaya dan membuat laporan polis pada 21 April lalu di Balai Polis Nilai dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.