Lelaki ditangkap selepas bakar tafsir al-Quran hadiah bekas kekasih

Kerana kecewa akibat putus cinta dengan kekasih beragama Islam, seorang lelaki bertindak membakar tafsir al-Quran hadiah daripada wanita berkenaan, semalam.

Akibatnya dia ditangkap polis dan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda, manakala penjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya bagi kesalahan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan polis menahan seorang lelaki bukan Islam berusia 36 tahun yang dituduh membakar senaskhah tafsir al-Quran di belakang sebuah tandas awam di Pekan Kuala Nerang, Kedah, semalam.

Tangkapan dibuat selepas polis membuka kertas siasatan susulan laporan seorang lelaki mengatakan telah menerima video melalui aplikasi WhatsApp menunjukkan seseorang sedang membakar tafsir al-Quran, katanya.

Beliau berkata kejadian berlaku di depan rumah kedai suspek dan dalam siasatan awal polis merampas sisa tafsir al-Quran itu.

“Pihak polis turut merampas dua telefon bimbit, pemetik api dan sepasang selipar yang dipercayai diguna ketika kejadian.

“Siasatan juga mendapati motif perbuatan suspek adalah disebabkan perasaan marah dan kecewa dengan kekasihnya seorang wanita Islam yang telah berubah hati.

“Naskhah tafsir al-Quran yang dibakar tersebut adalah hadiah pemberian wanita berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun mendakwa tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti agama.

Kamarul Zaman berkata suspek telah direman dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

BERITA BERKAIT
POPULAR