Lega dan terima kasih kerajaan, kata peneroka selepas sebahagian hutang dilupus

Para peneroka menzahirkan rasa lega dan berterima kasih kepada kerajaan susulan pengumuman melupuskan sebahagian pinjaman mereka baru-baru ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Inisiatif kerajaan mengenai pelarasan pinjaman secara bersyarat itu dilihat dapat meringankan beban peneroka yang terbeban dengan hutang lama, ia juga dapat membantu mereka dalam mendepani cabaran krisis Covid-19 yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Seorang peneroka Jafer Jais, 66, di Kuala Pilah berkata inisiatif itu telah meringankan bebannya sekeluarga kerana baki hutangnya kini berjumlah RM38,444 berbanding hutang asal sebanyak RM146,819 yang dipinjam sejak 2010 bagi penanaman semula kelapa sawit.

“Kalau diikutkan, anak-anak pun (generasi kedua) tidak mampu menyelesaikan hutang ini kerana mereka juga sudah mempunyai kehidupan masing-masing. Anak-anak saya juga membantu dalam melakukan kerja-kerja kampung bagi menambah pendapatan kami,” katanya dipetik Bernama.

Katanya tanpa inisiatif tersebut, kemungkinan generasi kedua keluarganya masih tidak mampu melunaskan hutang, lebih-lebih lagi dalam situasi mencabar akibat pandemik Covid-19.

Jafer menjelaskan sejak 2018 sehingga sekarang, beliau perlu membayar ansuran bulanan RM700 kepada Felda iaitu merangkumi pinjaman pembesaran perumahan, bayaran kembali sementara dan bayaran untuk baja, namun beliau tidak mampu membayarnya secara konsisten setelah pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kadang-kadang saya bayar RM300 hingga RM500 bergantung kepada keadaan. Sekiranya musim hujan, saya tidak dapat ke ladang kerana berbahaya bagi peneroka berusia seperti saya,” katanya.

Bagi Ketua Peneroka Felda Kepis, Abdullah Baharom, 67, bantuan dalam penyelesaian hutang itu sememangnya dinanti-nantikan warga peneroka yang kini berdepan cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Abdullah Baharom yang terlibat dengan Felda sejak 1983 berkata beliau mempunyai hutang sebanyak RM180,000, dan dengan pelarasan pinjaman itu, baki hutangnya hanya tinggal RM50,000.

Jelasnya, empat tahun lepas, kerajaan pernah mengumumkan mengenai penghapusan hutang peneroka namun kaedah pelarasan pemasalahan tersebut tidak konsisten dan peneroka masih dibelenggu dengan masalah hutang yang tinggi.

Sementara itu Pengurus Felda Kepis, Mohamad Daud Ahmad, 59, berkata kesemua 340 peneroka di Felda ini menyambut baik keputusan kerajaan dan bersetuju untuk menandatangani perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka Secara Bersyarat berkenaan.

“Bebanan pinjaman peneroka berkurang sebanyak 80 peratus dan berbaki 20 peratus diteruskan pembayaran oleh peneroka. Ia merupakan hadiah istimewa buat mereka yang selama ini menantikan pelupusan sebahagian pinjaman tersebut,” katanya.

Sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2021 pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan secara dasarnya bersetuju melupuskan sebahagian hutang pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

BERITA BERKAIT
POPULAR