Lebih utamakan ‘nyawa’ ekonomi berbanding rakyat, Kerajaan PKR Selangor tolak PKP penuh

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Kerajaan PKR Negeri Selangor menolak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di negeri itu, kerana gusar akan menyebabkan ekonomi terjejas terutama kepada sektor perkilangan dan para peniaga kecil.

Ketua Pasukan Khas Covid-19 Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi alasan pelaksanaan PKP penuh juga akan menyebabkan gangguan emosi dalam kalangan rakyatnya yang mungkin terjejas punca pendapatan mereka sekiranya dilaksanakan.

“PKP penuh akan menjejas minda dan emosi kanak-kanak dan remaja.

“Kerajaan negeri Selangor akan meneruskan strategi melawan Covid-19 di kilang-kilang dan kawasan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu menurut Dr. Dzulkefly kadar kebolehjangkitan di Selangor juga masih rendah berbanding negeri lain iaitu Kelantan dan Pahang.

Katanya lagi, pasukannya dan kerajaan Selangor berada dalam tahap baik menguruskan wabak.

Semalam Selangor merekodkan kadar maut akibat Covid-19 tertinggi dengan 18 kes daripada kematian keseluruhan 47 kes dan hari ini juga negeri tersebut mencatatkan kes tertinggi sebanyak 2,251 kes.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan meskipun pakar Kesihatan Awam telah membuat gesaan supaya segera dilaksanakan PKP penuh terutamanya di Selangor namun sehingga ke hari ini kerajaan negeri naungan PKR itu masih berdegil dan enggan berbuat demikian.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman, pelaksanaan itu perlu disegerakan kerana jika lambat bertindak ia akan memberi kesan yang lebih dahsyat.

POPULAR