Lebih sejuta kanak-kanak telah terima vaksin Covid-19

Seramai 1,003,227 atau 28.3 peratus daripada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan 3 Februari 2022 lalu hingga semalam.

Daripada jumlah itu, 28,149 kanak-kanak menerima suntikan dos berkenaan semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang CovidNOW, hari ini.

Kelantan dan Terengganu masih merekodkan jumlah kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 yang rendah iaitu tidak sampai 10 peratus, dengan masing-masing mencatat 8.0 peratus dan 9.3 peratus.

Sementara itu, seramai 14,984,241 atau 63.7 peratus individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak sejak Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) bermula secara rasmi pada 1 Oktober 2021 lalu.

Manakala sejak 24 Februari tahun lalu hingga semalam, seramai 22,927,098 atau 97.4 peratus populasi dewasa Malaysia telah lengkap divaksinasi, dan 23,203,753 atau 98.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pada masa sama, sejak 8 September tahun lalu hingga semalam pula seramai 2,830,746 atau 91.0 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 2,930,978 atau 94.2 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari 2021 lalu hingga semalam, sebanyak 67,672,349 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.

Daripada jumlah itu, seramai 25,757,844 atau 78.9 peratus populasi telah lengkap divaksinasi, manakala 27,137,958 atau 83.1 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR