Lebih RM20.6b subsidi upah pekerja diperkenal Kerajaan PN telah disalur

Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.643 bilion kepada 357,639 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) setakat 25 Mac 2022 bagi mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata melalui PSU 1.0, sebanyak 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan mencecah nilai RM12.958 bilion setakat 25 Mac, 2022.

Kedua-dua pakej itu diperkenalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2020 yang dipimpin Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meringankan beban hidup rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Memetik Bernama, Tengku Zafrul berkata di bawah PSU 2.0 setakat 25 Mac, sejumlah RM1.407 bilion telah disalurkan kepada 81,133 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 718,336 pekerja.

“Bagi PSU 3.0, sebanyak RM3.731 bilion telah disalurkan kepada 162,279 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1,526,242 pekerja, setakat 25 Mac, 2022.

“PSU 3.0 turut ditambah baik dengan Pakej PERMAI (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia), PEMERKASA (Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi) dan PEMERKASA Tambahan,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata manakala bagi PSU 4.0, setakat 25 Mac, sebanyak RM2.471 bilion telah disalurkan kepada 159,571 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1,878,549 pekerja, dan sejumlah RM75.659 juta disalurkan kepada 3,908 majikan untuk kekalkan penggajian bagi 66,096 pekerja bagi PSU 5.0.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan akan meneruskan usaha latihan dan peningkatan kemahiran bagi 2022 dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion yang menyasarkan 220,000 peluang pekerjaan.

Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Sumber Manusia juga telah diberi tanggungjawab menyediakan ‘single window’ (tetingkap tunggal) bagi memastikan program latihan dan peningkatan kemahiran yang dijalankan pelbagai kementerian dan agensi dilaksanakan dengan efektif dan optimum, katanya.

“Susulan pembukaan sempadan, ekonomi kita akan bangkit semula, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan semua.

“Berpandukan dasar-dasar positif kerajaan, Keluarga Malaysia akan bangkit semula, lebih gagah dan lebih berdaya saing berbanding dahulu,” katanya.

Tengku Zafrul berkata MOF amat berharap fasa peralihan ke endemik ini berupaya membantu dan menyokong proses pemulihan perusahaan kecil dan sederhana selain kebenaran pengeluaran sekali sahaja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak RM10,000 serta Bantuan Khas Kewangan sempena Aidilfitri, dapat membantu dan memberi kelegaan kepada aliran tunai rakyat.

BERITA BERKAIT
POPULAR