Lebih banyak usaha memperkasa wanita boleh dibuat: Muhyiddin

Perikatan Nasional (PN) sentiasa mengiktiraf peranan wanita sebagai penggerak utama kemajuan negara, institusi kekeluargaan dan pengukuh masyarakat penyayang.

Sehubungan itu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin lebih banyak yang boleh dilakukan bagi memperkasa kedudukan wanita dalam bidang ekonomi, sosial dan politik di Malaysia.

Menurutnya, ketika memimpin Kerajaan PN di peringkat Persekutuan, beliau sering menekankan berhubung betapa pentingnya untuk memastikan kedudukan dan sumbangan wanita menjadi pertimbangan penting dalam merangka hala tuju pembangunan negara yang lebih seimbang dan holistik.

“Pemerkasaan wanita harus berada di barisan hadapan dalam penggubalan dasar,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Wanita, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu yakin wanita juga memainkan peranan yang amat besar dalam usaha memulihkan negara dari pandemik Covid-19.

“Baik dari segi sektor ekonomi, mahupun sektor sosial, penglibatan wanita di setiap peringkat pemulihan amat diperlukan dan dihargai. Saya pasti, negara tidak akan pulih sepenuhnya tanpa usaha keras kaum wanita di seluruh negara.

“Tambahan lagi, jika kaum wanita tidak bersama-sama mengambil bahagian dalam usaha-usaha pembangunan dan pemulihan negara, bermakna kita mengabaikan satu sumber tenaga yang penting bagi membawa negara ke mercu kejayaan,” katanya sambil berterima kasih kepada isteri beliau Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang memberi contoh terbaik tentang erti menjadi seorang wanita, isteri dan ibu.

Muhyiddin berkata kemajuan Wanita di Malaysia kini telah berubah daripada hanya sebagai pengurus rumah tangga, melahir dan mendidik anak-anak semata-mata, tetapi kini telah maju dan berperanan sebagai pendukung dan penggerak kepada kemajuan negara tanpa melupakan peranan tradisi mereka sebagai isteri dan ibu.

“Wanita sentiasa menunjukkan mereka gagah, sukar untuk melihat mereka mengeluh walaupun hidup mereka didatangi pelbagai masalah.
Saya percaya wanita mempunyai keupayaan yang boleh menggoncang dunia.

“Mereka mampu menahan beban sebesar gunung, mampu menongkah arus setinggi mana, sekalipun di lautan. Betapa hebatnya wanita.

“Terima kasih sekali lagi dan saya doakan agar semua wanita di Malaysia terus diberi kekuatan, kecekalan, ketabahan untuk mengharungi cabaran pandemik dan pasca pandemik. Saya juga mendoakan agar anda semua terus dilindungi Allah SWT, dan diberi rahmah dan kemulian daripada-Nya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR