Lebih 800,000 kanak-kanak terima vaksin Covid-19

Sebanyak 22.7 peratus atau 805,676 kanak-kanak berusia lima hingga di bawah 12 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 sejak PICKids dilancarkan 3 Februari lalu.

Semalam sahaja seramai 53,080 kanak-kanak telah menerima suntikan itu dalam usaha memastikan golongan berkenaan tidak mudah dijangkiti Covid-19, terutama varian Omicron yang mudah menular dan menjangkiti.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan lebih 14.51 juta individu dewasa atau 61.7 peratus, telah menerima dos penggalak sejak Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) bermula secara rasmi pada 1 Oktober 2021.

Sementara itu, sejak 24 Februari 2021 hingga semalam, seramai 22,948,037 atau 97.5 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 23,227,580 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Semalam saja, sebanyak 63,683 dos diberikan kepada golongan itu, termasuk membabitkan 62,840 individu dewasa menerima dos penggalak, 530 dos pertama dan 313 dos kedua.

Sejak 8 September tahun lalu hingga semalam juga seramai 2,800,421 atau 90.0 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 2,893,860 atau 93.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya sebanyak 66,986,213 dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing, sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 25,748,458 atau 78.8 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi, dan 26,927,116 atau 82.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR