
Data pemberian vaksin di seluruh negara mengikut negeri-negeri sehingga 1 September 2022.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Khamis, 1 September 2022) meningkat sedikit berbanding pada Rabu.
Menurut laman sesawang CovidNOW, sebanyak 2,356 kes dilaporkan dalam tempoh itu, berbanding 2,340 kes yang direkodkan pada Rabu.
Jumlah jangkitan baharu itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 sejak wabak itu menyerang Malaysia pada Januari 2020 hingga semalam meningkat kepada 4,784,980 kes, dengan 4,717,292 pesakit telah sembuh, termasuk 1,875 pesakit telah pulih semalam.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 1,654 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 466 kes (penerima dua dos); 219 (individu tidak divaksinasi); dan 17 kes (individu yang belum lengkap divaksinasi).
KKM juga memaklumkan sehingga kini, sebanyak 31,463 kes masih aktif, meningkat berbanding 30,991 yang dicatat pada Rabu. Jumlah itu termasuk, 30,084 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (29,604 pada Rabu); dan 20 ditempatkan di PKRC (17 pada Rabu).
Jumlah pesakit yang dirawat di hospital bagaimanapun turun sedikit kepada 1,285 semalam, berbanding 1,301 pesakit pada Rabu, manakala 74 dimasukkan ke unit rawatan rapi (69 pada Rabu), dengan 46 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (42 pada Rabu).
Berikut adalah jumlah kes baharu dan kumulatif positif Covid-19 mengikut negeri sehingga semalam:
- Selangor – 775 (1,461,017);
- Kuala Lumpur – 479 (426,420);
- Johor – 86 (392,075);
- Sabah – 227 (390,123);
- Sarawak – 62 (312,937);
- Kedah – 42 (307,760);
- Pulau Pinang – 104 (295,014);
- Kelantan – 49 (252,065);
- Perak – 175 (222,929);
- Negeri Sembilan – 127 (219,451);
- Pahang – 59 (176,214);
- Melaka – 97 (133,229);
- Terengganu – 28 (128,816);
- Putrajaya – 25 (26,550);
- Labuan – 11 (22,155); dan
- Perlis – 10 (18,225).
KKM juga memaklumkan sembilan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk tiga kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau brought in death (BID).
Tiga daripada kes kematian itu dilaporkan di Selangor, termasuk dua kes BID; Sarawak (dua kes) dan masing-masing satu kes di Pahang, Perlis, Pulau Pinang (BID), dan Sabah.
Data laman sesawang CovidNOW KKM menunjukkan sejak Mac 2020 hingga semalam, jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi Covid-19 meningkat kepada 36,225 kes, termasuk 7,699 kes BID.
Sementara itu, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari 2021 hingga semalam, lebih 72.27 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.
Daripada jumlah itu, 28,092,504 dos melibatkan dos pertama; 27,494,752 (dos kedua); 16,218,571 (penggalak pertama); dan 468,214 (penggalak kedua).