
Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 29 Jun 2022. - Sumber Covidnow KKM
Jumlah pemberian vaksin Covid-19 kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari tahun lalu hingga semalam (29 Jun), terus meningkat.
Data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan, setakat ini sejumlah 71,237,928 dos vaksin Covid-19 telah diberikan dalam tempoh itu kepada populasi Malaysia berusia lima tahun dan ke atas.
Daripada jumlah itu, 85.8 peratus populasi menerima suntikan dos pertama, sementara 83.5 peratus menerima dos kedua.
Data laman sesawang CovidNOW KKM juga menunjukkan 3,092,720 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak lima hingga di bawah 12 tahun menerusi PICKids yang dilancarkan pada 3 Februari lalu hingga semalam.
Ianya membabitkan 1,746,253 atau 49.2 peratus kanak-kanak yang menerima dos pertama, dan 1,346,467 atau 37.9 peratus lagi melengkapkan suntikan dos kedua.
Bagi PICK Remaja pula, sejak September tahun lalu hingga semalam sebanyak 5,904,770 dos vaksin telah diberikan, dengan 2,996,521 atau 96.3 peratus menerima dos pertama, dan 2,908,249 atau 93.5 peratus lagi menerima dua dos.
Sementara itu, lebih 62.24 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada individu dewasa, dengan 68.6 peratus atau 16,141,982 individu telah menerima dos penggalak.
Selain itu, seramai 23,295,468 atau 99.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 23,017,994 atau 97.8 peratus lagi melengkapkan suntikan dos kedua masing-masing.