Lebih 7.57 juta terima dos penggalak

Jumlah penerima dos penggalak terus meningkat dengan semalam sahaja sebanyak 210,658 individu menerima suntikan masing-masing, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi kemas kini laman sesawangnya, Covidnow pagi ini, KKM memaklumkan sehingga kini seramai 7,570,846 atau 23.2 peratus individu yang layak telah menerima dos penggalak.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak dimulakan 13 Oktober 2021 lalu, dengan jangkaan awal membabitkan kira-kira 23 juta penerima, terutama warga emas berusia 60 tahun dan ke atas.

PICK dilancarkan pada 24 Februari 2021 dan sejak itu sehingga semalam lebih 59.0 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada individu seawal usia 12 tahun ke atas di seluruh negara, sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, 25,643,935 atau 78.5 peratus populasi negara telah lengkap divaksinasi, manakala 26,019,908 atau 79.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

KKM juga memaklumkan daripada jumlah individu yang lengkap divaksinasi itu, sebanyak 97.7 peratus atau 22,878,955 membabitkan populasi dewasa.

Seramai 23,164,441 atau 98.9 peratus lagi individu dewasa menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal, menurut statistik Covidnow.

Bermula 8 September 2021 pula, seramai 5,620,447 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin sama ada yang telah lengkap divaksinasi atau menerima dos pertama.

Sehingga semalam 87.8 peratus atau 2,764,980 remaja telah lengkap divaksinasi, manakala 90.7 peratus atau 2,855,467 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 7 Januari 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR