Lebih 68.48 juta dos vaksin diberi

Sebanyak 68,484,635 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di Malaysia sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari 2021 lalu hingga semalam (Ahad, 20 Mac 2022).

Daripada jumlah itu, 25,786,987 atau 79.0 peratus populasi telah lengkap divaksinasi, manakala 27,424,791 atau 84.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada lebih 68.48 juta dos vaksin yang diberikan itu, 15,483,571 adalah dos penggalak yang telah diberikan kepada 65.8 peratus individu dewasa sejak ianya dilancarkan pada 1 Oktober 2021.

Sehingga semalam juga seramai 22,943,182 atau 97.5 peratus individu dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 23,219,105 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, seramai 2,843,805 atau 91.4 peratus remaja berusia antara 12 dan 17 tahun pula telah lengkap divaksinasi, manakala 2,942,399 atau 94.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dilancarkan 3 Februari lalu pula, sehingga semalam seramai 1,263,287 atau 35.6 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama.

Semalam sahaja, seramai 8,708 kanak-kanak menerima suntikan masing-masing.

Menurut makluman KKM, sela masa lapan minggu bagi dos pertama dan kedua Pfizer, serta empat minggu bagi vaksin Sinovac, telah mencapai tempoh.

Oleh itu, pautan janji temu baru dos kedua PICKids akan dihantar ke aplikasi MySejahtera secara peringkat berdasarkan sela masa (interval) antara dos pertama dan kedua mengikut jenis vaksin, bermula hari ini.

Pautan janji temu ini juga membenarkan ibu bapa memilih lokasi PPV, masa dan tarikh mengikut kelapangan untuk membawa anak masing-masing menerima suntikan dos kedua.

Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 20 Mac 2022. – Sumber Covidnow KKM

BERITA BERKAIT
POPULAR