Lebih 67.73 juta dos vaksin Covid-19 diberikan sejak Februari 2021

Sejumlah 67,731,132 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada keseluruhan populasi Malaysia, termasuk rakyat asing, yang tinggal atau bekerja di negara ini, sehingga semalam.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari tahun lalu hingga semalam juga, seramai 25,758,821 atau 78.9 peratus populasi negara telah lengkap divaksinasi.

Menurut laman sesawang CovidNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini pagi tadi, 27,162,874 atau 83.2 peratus lagi populasi menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos atau dos tunggal.

Sementara sejak Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) bermula secara rasmi pada 1 Oktober 2021 lalu, seramai 15,017,166 atau 63.8 peratus individu dewasa telah menerima suntikan dos ketiga.

Daripada 60,941,494 dos vaksin yang diberikan kepada populasi dewasa, seramai 22,927,624 atau 97.4 peratus telah lengkap divaksinasi, manakala 23,204,433 atau 98.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

KKM juga memaklumkan sejak 8 September tahun lalu hingga semalam seramai 2,831,197 atau 91.0 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi.

Manakala, 2,931,709 atau 94.2 peratus lagi remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, jumlah kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang menerima suntikan vaksin Covid-19 meningkat kepada 1,026,732 atau 28.9 peratus sejak Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan 3 Februari 2022 lalu.

Semalam sahaja, seramai 23,025 kanak-kanak menerima suntikan vasin Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR