
Data 28 Julai 2021
Jumlah pemberian suntikan vaksin Covid-19 di seluruh negara hari ini sudah melebihi 19 juta dos, sementara lebih 6.2 juta penduduk pula melengkapkan dua dos vaksin masing-masing.
Angka ini adalah berdasarkan kepada jumlah terkini sehingga semalam apabila lebih 18.9 juta dos vaksin diberikan membabitkan 12.8 juta penerima dos pertama dan 6.1 juta melengkapkan dos kedua masing-masing.
Selain pemberian vaksin di Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Sarawak yang masing-masing melepasi angka 7.1 juta dan 2.9 juta dos, Johor juga bakal melepasi angka satu juta jika mengambil kira jumlah pemberian vaksin hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata dalam tempoh 24 jam semalam sebanyak 552,701 suntikan – jumlah kedua tertinggi dalam minggu ini – diberikan membabitkan 353,771 penerima dos pertama dan 198,930 dos kedua.
Selangor merekodkan pemberian dos suntikan tertinggi dengan 96,135 penerima dos pertama dan 49,876 lagi melengkapkan suntikan dos kedua, diikuti Kuala Lumpur (57,792 dos pertama dan 31,904 dos kedua); dan Johor (36,493 dos pertama dan 5,792 dos kedua).
Sarawak turut merekodkan jumlah pemberian suntikan tertinggi dengan 7,780 dos pertama dan 29,096 penerima melengkapkan dos kedua, diikuti Sabah (31,991 dos pertama dan 1,815 dos kedua); dan Perak (11,678 pertama dan 19,670 kedua).
Secara keseluruhan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin Covid-19 di seluruh negara semalam adalah sebanyak 18,946,048 membabitkan 12,841,212 penerima dos pertama dan 6,104,836 dos kedua.