Lebih 57.3 juta dos vaksin diberikan sejak Februari hingga semalam

Sebanyak 57,305,127 dos vaksin telah diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu hingga semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Menerusi kemas kini laman sesawang kendaliannya, Covidnow, KKM memaklumkan daripada jumlah itu 25,603,645 atau 78.4 peratus populasi negara melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Sebanyak 79.6 peratus atau 25,990,727 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Sehingga semalam, seramai 5,908,852 atau 18.1 peratus individu menerima suntikan dos penggalak.

Kelmarin, KKM memendekkan sela masa antara dos kedua vaksin Covid-19 dan suntikan dos penggalak kepada tiga bulan berbanding enam bulan bagi vaksin Pfizer dan AstraZeneca.

Warga emas berumur 60 tahun ke atas serta individu dewasa yang menerima semua jenis vaksin Pfizer, AstraZeneca dan CoronaVac amat disyorkan untuk menerima vaksin penggalak sekurang-kurangnya tiga bulan, selepas menerima vaksin primer.

Selain itu, keutamaan pemberian dos penggalak kepada individu yang mempunyai komorbiditi, penghuni serta petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang dan individu dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang sudah menerima vaksin lengkap sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima vaksin primer.

Pemberian dos penggalak ini dengan mengikut turutan umur bermula daripada 50 tahun ke atas, 40 tahun ke atas dan seterusnya 18 tahun ke atas.

Sementara itu, data Covidnow juga menunjukkan 97.6 peratus atau 22,851,542 individu dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 98.8 peratus atau 23,146,049 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sejak 8 September hingga semalam, KKM berkata seramai 2,752,103 atau 87.4 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Selebihnya, 90.3 peratus atau 2,844,678 lagi remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR