Lebih 51.13 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan sehingga semalam

Lebih 22.28 juta atau 95.2 peratus daripada populasi dewasa Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sehingga semalam, sama ada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal, kata Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu hingga semalam juga lebih 22.85 juta individu dewasa atau 97.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, sejak 13 Oktober lalu hingga semalam seramai 938,437 individu yang layak, khususnya warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta petugas barisan hadapan telah menerima suntikan dos penggalak.

Keseluruhannya sebanyak 45,899,740 dos diberikan kepada individu dewasa sehingga semalam.

Untuk rekod, sehingga semalam, 65.2 peratus daripada keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia melibatkan pesakit yang tidak divaksinasi, 22.1 peratus belum lengkap divaksin, dan 12.6 peratus adalah individu yang lengkap divaksinasi.

Sementara itu, KKM memaklumkan sejak 20 September lalu hingga semalam seramai 2,505,157 atau 79.6 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi.

Seramai 2,734,057 lagi remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 13.1 peratus lagi belum divaksin.

Secara keseluruhannya, sebanyak 51,138,954 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini, dengan 24,791,677 atau 75.9 peratus individu telah lengkap divaksinasi.

Seramai 25,593,015 atau 78.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 21.6 peratus lagi belum divaksin.

Daripada keseluruhan dos yang diberikan itu, 53.1 peratus membabitkan vaksin jenama Pfizer; Sinovac (38.7 peratus); AstraZeneca (7.9 peratus); dan vaksin dos tunggal Cansino (0.4 peratus).

BERITA BERKAIT
POPULAR