Lebih 50 peratus populasi dewasa lengkap divaksin

Lebih 50 peratus populasi dewasa Malaysia telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan Februari lalu hingga semalam.

Dalam tempoh itu juga sebanyak 75.3 peratus lagi populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, menurut data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini.

“Kita di landasan tepat bagi mencapai sasaran yang ditetapkan untuk PICK,” kata JKJAV dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan lebih 29.36 juta dos vaksin telah diberikan sehingga semalam membabitkan 17,625,760 suntikan dos pertama dan 11,743,096 lagi dos kedua.

Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi pemberian vaksin iaitu sebanyak 11,099,973 dos membabitkan 6,553,311 dos pertama dan 4,546,662 dos kedua.

Semalam sahaja sebanyak 531,114 dos suntikan diberikan membabitkan 188,474 penerima dos pertama dan 342,640 penerima melengkapkan dos kedua masing-masing.

Data pemberian vaksin di seluruh negara pada 18 Ogos 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR