Lebih 50 peratus kes baharu semalam babitkan penerima dos penggalak

Seramai 1,520 daripada 2,478 individu yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 25 April 2022) adalah mereka yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Data laman sesawang Github Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi juga menunjukkan 523 daripada kes baharu itu membabitkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin itu.

Manakala, 327 kes pula melibatkan individu yang tidak divaksinasi, dan 108 lagi adalah mereka yang belum lengkap divaksinasi.

Menurut KKM sejak Januari 2020 hingga semalam negara merekodkan kumulatif positif sebanyak 4,433,551 kes, dengan 4,330,037 pesakit telah pulih, dan 68,007 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, 66,014 pesakit yang melaporkan keadaan mereka kini menjalani kuarantin di rumah; 86 ditempatkan di PKRC; 1,809 dimasukkan ke hospital; dan 98 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 63 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara semalam adalah kedua terendah sepanjang tahun ini. Jangkitan harian terendah tahun ini dicatat pada 17 Januari lalu sebanyak 2,342 kes.

Berita berkaitan: Kes positif Covid hari ini turun ke paras kedua terendah tahun iniĀ 

Sementara itu, seramai lapan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk dua kes yang melibatkan kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes ‘brought in death’ (BID).

Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 35,507 kes, termasuk 7,515 kes BID.

Rekod laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan Selangor mencatat jumlah kematian tertinggi semalam iaitu sebanyak lima kes, termasuk satu kes BID.

Ianya menjadikan kumulatif kematian di negeri itu akibat komplikasi Covid-19 kini mencecah 10,619 kes, termasuk 2,296 kes BID.

Semalam, Selangor mencatat 1,127 jangkitan baharu, menjadikan kumulatif positif sebanyak 1,332,474 kes, dengan 1,284,062 pesakit telah sembuh, dan 37,793 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 36,989 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 32 ditempatkan di PKRC; 739 dimasukkan ke hospital; dan 33 pesakit dirawat di ICU, dengan 14 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kedah pula mencatat dua kematian semalam, diikuti satu di Melaka, manakala negeri-negeri lain sifar kes.

Sementara itu, KKM juga memaklumkan tiga kluster baharu Covid-19 dikesan di dua negeri semalam, dengan dua daripadanya melibatkan kluster pendidikan.

Kluster pendidikan yang dikesan ialah:

  • Kluster Jalan Damai Bukit Mertajam 2 di Pulau Pinang – 42 kes; dan
  • Kluster Peretak Kuala Kubu 3, di Selangor – 40 kes.

Satu lagi ialah kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Jalan Selangor yang melibatkan dua daerah di Petaling dan Hulu Langat membabitkan 24 jangkitan.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 25 April 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR