Lebih 50.5 juta populasi Malaysia terima vaksin sejak 24 Februari

Lebih 50.5 juta populasi Malaysia telah menerima suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu sehingga semalam, menurut statistik Kementerian Kesihatan (KKM), yang dikemas kini hari ini.

Daripada jumlah itu, 45,241,918 membabitkan individu dewasa, 1,226,523 penerima dos penggalak, dan 5,308,897 remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Sebanyak 95.5 peratus atau 22,350,755 individu dewasa telah melengkapkan suntikan masing-masing sama ada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal, manakala 97.8 peratus atau 22,891,163 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 1,031,946 atau 2.2 peratus individu dewasa belum divaksin, kata KKM dalam laman sesawang kendaliannya, Covidnow.

Bagi PICK Remaja yang dilancarkan 20 September lalu, 81.4 peratus atau 2,563,344 remaja telah lengkap divaksinasi, manakala 2,745,553 atau 87.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 401,947 remaja atau 12.8 peratus lagi belum divaksinasi.

Keseluruhannya menerusi PICK itu, 24,914,099 individu atau 76.3 peratus daripada populasi negara telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sehingga semalam, sementara 25,636,716 individu atau 78.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 7,317,045 atau 22.4 peratus lagi belum divaksinasi.

BERITA BERKAIT
POPULAR