Lebih 5.58 juta remaja terima vaksin

Lebih 5.58 juta remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan 8 September lalu hingga semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu seramai 2,747,938 atau 87.3 peratus remaja melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Data menerusi laman sesawang Covidnow menunjukkan seramai 2,841,584 atau 90.3 peratus lagi remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos, sementara 305,916 atau 9.7 peratus lagi remaja tidak divaksinasi.

KKM juga memaklumkan sehingga semalam seramai 5,577,262 individu, terutama warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta petugas barisan hadapan, telah menerima suntikan dos penggalak.

Seramai 22,841,604 atau 97.6 peratus populasi dewasa pula melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, sementara 23,139,400 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Secara keseluruhannya sejak PICK dilancarkan 24 Februari lalu hingga semalam, hampir 57 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk Malaysia.

Daripada jumlah itu, 25,589,542 atau 78.4 peratus telah lengkap divaksinasi, dan 79.6 peratus atau 25,980,984 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR