Lebih 5.57 juta remaja divaksin

Seramai 5,578,011 remaja Malaysia berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK Remaja) yang dilancarkan 8 September lalu sehingga semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu 87.1 peratus atau 2,740,609 remaja telah lengkap divaksinasi dengan sembilan negeri mencatat peratusan imunisasi melebihi 90 peratus.

Menerusi laman sesawang Covidnow, KKM berkata 90.2 peratus atau 2,837,402 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 310,098 atau 9.9 pertus belum divaksin.

Bagi individu berusia 18 tahun dan ke atas, sebanyak 50,816,959 dos vaksin telah diberikan sejak PICK dilancarkan 24 Februari lalu hingga semalam.

Daripada jumlah itu, 22,827,262 atau 97.5 peratus individu dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 98.8 peratus atau 23,129,645 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Seramai 5,055,934 individu telah menerima suntikan dos penggalak,” menurut data rasmi KKM.

Keseluruhannya, hampir 56.4 juta dos vaksin telah diberikan dengan 78.3 peratus atau 25,567,871 individu telah lengkap divaksinasi, manakala 25,967,047 atau 79.5 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR