Lebih 5.16 juta remaja telah terima suntikan vaksin Covid-19

Lebih 2.44 juta atau 77.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) dilancarkan 20 September lalu hingga semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan menerusi laman sesawang covidnow hari ini memaklumkan 86.6 peratus atau lebih 2.72 juta remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Semalam, sebanyak 28,210 dos vaksin diberikan membabitkan 25,536 remaja lengkap divaksinasi, dan 2,674 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, sehingga semalam 95.0 peratus atau 22,248,737 individu dewasa melengkapkan suntikan vaksin masing-masing sama ada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Seramai 22,838,338 atau 97.5 individu dewasa lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, kata KKM dalam laporan harian mengenai PICK.

Jumlah penerima doa penggalak juga meningkat kepada 731,635 individu.

Keseluruhannya sehingga semalam, sebanyak 50,804,374 dos vaksin telah diberikan dengan 75.6 peratus atau 24,691,110 populasi Malaysia melengkapkan suntikan masing-masing, dan 25,564,214 atau 78.3 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mendedahkan kira-kira 40 peratus individu yang menerima janji temu untuk vaksinasi dos penggalak di bawah PICK tidak hadir untuk menerima suntikan itu.

Beliau berkata jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah.

“Jika pengambilan dos penggalak adalah rendah, khususnya dalam kalangan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi, jumlah kemasukan ke hospital akan meningkat. Ini sudah pasti,” katanya semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa mereka yang menerima janji temu agar pergi mendapatkan suntikan dos penggalak itu bagi menguatkan imuniti dan perlindungan mereka terhadap Covid-19.

Pemberian dos penggalak bermula pada 13 Oktober lalu untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta.

BERITA BERKAIT
POPULAR