Lebih 400,000 individu sudah terima dos penggalak vaksin Covid-19

Seramai 407,607 individu yang layak, termasuk warga emas dan petugas barisan hadapan, telah menerima dos penggalak sejak program itu dilancarkan sehingga semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, 56,493 individu telah menerima dos berkenaan semalam.

Dalam tempoh sama, jumlah individu dewasa yang lengkap divaksinasi kini hampir 22.4 juta atau 95.7 peratus, lapor KKM menerusi laman sesawang COVIDNOW, hari ini.

Sebanyak 97.8 peratus lagi atau lebih 22.88 juta menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan sehingga semalam sebanyak 50,306,343 dos telah diberikan, termasuk lebih 45.5 juta kepada golongan dewasa.

Sementara itu, sejak 20 September lalu hingga semalam seramai 2,171,270 atau 69.0 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Daripada lebih 4.79 juga dos yang diberikan kepada golongan remaja, sebanyak 83.2 peratus atau 2,619,573 menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya, 75.2 peratus atau 24,564,990 individu telah lengkap divaksin, manakala 78.1 peratus atau 25,504,743 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR