Lebih 4.8 juta remaja terima vaksin

Seramai 2,197,961 atau 69.8 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sehingga semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam laporan hariannya berkata, 83.3 peratus atau 2,622,306 remaja lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dilancarkan pada 20 September lalu hingga semalam, lebih 4.82 juta dos vaksin telah diberikan, dengan 29,424 dos diberikan semalam membabitkan 26,691 remaja lengkap divaksinasi dan 2,733 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi PICK dewasa pula, KKM memaklumkan sejak 24 Februari lalu hingga semalam sebanyak 95.7 peratus atau 22,409,335 individu telah lengkap divaksinasi, sementara 97.8 peratus atau 22,891,080 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Seramai 471,689 lagi individu termasuk warga emas dan petugas barisan hadapan telah menerima dos penggalak.

Bagi keseluruhan populasi pula, sebanyak 50,420,916 dos telah diberikan sehingga semalam dengan 75.3 peratus atau 24,607,296 individu telah lengkap divaksin, dan 78.1 peratus atau 25,513,386 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Semalam sebanyak 114,573 dos diberikan di seluruh negara dengan 42,306 individu melengkapkan suntikan masing-masing, 8,185 menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 64,082 individu menerima dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR