Lebih 4.10 juta terima suntikan dos penggalak sehingga semalam

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seramai 4,107,585 individu yang layak telah menerima dos penggalak sejak program suntikan itu dimulakan Oktober lalu hingga semalam.

Pemberian dos penggalak bertujuan meningkatkan semula imuniti tubuh bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, susulan kajian mendapati keberkesanan semua jenis vaksin dalam melawan virus itu semakin menurun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan semalam mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan panggilan daripada KKM untuk menerima suntikan dos penggalak.

“Bagi mempercepatkan lagi pemberian dos penggalak ini, KKM memberi pemakluman kepada penerima dos penggalak dengan penghantaran tarikh temujanji melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

KKM telah meluluskan pemberian dos penggalak Covid-19 sejak November 2021, dimulakan dengan kelompok tertentu yang menjadi keutamaan iaitu individu berusia 40 tahun dan ke atas; individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi; penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang; ibu mengandung; dan individu dengan keperluan ke luar negara.

“Sekiranya terlepas tarikh temujanji yang diberikan, adalah disarankan agar menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu,” katanya.

Sementara itu, sehingga semalam 97.4 peratus atau 22,799,234 populasi dewasa di Malaysia telah lengkap divaksinasi, manakala 23,110,692 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Pada masa sama, seramai 2,729,919 atau 86.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, sementara 89.9 peratus atau 2,829,924 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya sebanyak 55,383,495 dos vaksin diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, 78.2 peratus atau 25,529,153 individu telah lengkap divaksinasi, manakala 79.5 peratus atau 25,940,616 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR