Lebih 37.0 juta dos vaksin Covid-19 diberikan sehingga semalam

Terengganu mencapai nilai ambang vaksinasi 60 peratus seperti disasarkan apabila capaian liputan dos vaksin lengkap dalam kalangan individu dewasa di negeri itu telah melepasi 61.4 peratus.

Angka itu diperoleh semalam apabila 19,839 individu dewasa di negeri itu melengkapkan suntikan kedua vaksin Covid-19 masing-masing, menurut data dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hari ini.

Berdasarkan perangkaan JKJAV enam negeri, Johor, Pahang, Perak, Kedah, Kelantan dan Sabah masih mencatat liputan vaksin dos lengkap dalam kalangan individu dewasa di bawah 60 peratus.

Sehingga semalam, 55.7 peratus atau 1,510,848 individu dewasa di Johor lengkap divaksin; Pahang 54.9 peratus (645,309); Perak 51.7 peratus (963,015); Kedah 50.2 peratus (772,658); Kelantan 49.9 peratus (616,312); dan Sabah 46.1 peratus (1,272,788).

Sementara itu, sebanyak 326,476 dos vaksin diberikan semalam membabitkan 134,307 dos pertama dan 192,169 dos kedua.

Angka itu menjadikan keseluruhan pemberian vaksin di seluruh negara sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan sejak Februari lalu kepada lebih 37.0 juta dos.

Daripada jumlah itu, 69.6 peratus atau 16,299,881 individu dewasa telah melengkapkan dos masing-masing, manakala 88.9 peratus atau 20,814,413 menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Lembah Klang – Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya – mencatatkan nilai ambang vaksinasi tertinggi di kalangan individu dewasa iaitu sebanyak 97.8 peratus.

BERITA BERKAIT
POPULAR