
Honda Malaysia telah menerima lebih 20,000 tempahan untuk HR-V serba baharu yang didatangkan dengan gaya yang luar biasa, sistem janaan kuasa termaju dan ciri-ciri inovatif.
Sehubungan itu, tempoh menunggu untuk model tersebut ialah 12 bulan, bergantung kepada ketersediaan varian yang dipilih, lapor Bernama.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hironobu Yoshimura berkata syarikat akan melakukan yang terbaik untuk menyerahkan kereta baharu kepada pelanggan secepat yang mungkin.
“Selain itu, lanjutan pengecualian cukai jualan oleh kerajaan juga telah meningkatkan jualan kereta Honda,” katanya dalam satu kenyataan bersempena pelancaran HR-V serba baharu hari ini.
Honda Malaysia menyasarkan untuk menjual 1,600 unit model baharu itu setiap bulan.
HR-V serba baharu terus meletakkan tanda aras yang lebih tinggi bagi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak dengan pengenalan tiga pilihan sistem janaan kuasa untuk dipilih oleh pelanggan berdasarkan gaya hidup dan pilihan mereka.
Honda Malaysia juga mengumumkan senarai harga untuk kesemua varian iaitu untuk varian 1.5L e:HEV RS berharga RM140,800, varian 1.5T V pada RM134,800, 1.5T E (RM129,800), dan varian 1.5L S pada RM114,800.00 (harga atas jalan tanpa insurans).
Model baharu ini tersedia dalam lima pilihan warna — Ignite Red Metallic, Meteoroid Grey Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic dan Ruse Black Metallic.