
Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 23 Mei 2022. - Sumber Covidnow KKM
Seramai 11,631 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICKids) semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Daripada jumlah itu, 6,941 kanak-kanak melengkapkan duntikan dos kedua, manakala 4,690 lagi menerima suntikan dos pertama daripada vaksin dua dos.
Sejak PICKids dilancarkan 3 Februari lalu hingga semalam, lebih 2.79 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada golongan itu, dengan 1,119,411 atau 31.5 peratus lengkap divaksinasi, manakala 1,676,457 atau 47.2 peratus lagi menerima dos pertama.
Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memutuskan 31 Mei depan sebagai tarikh akhir pemberian dos pertama vaksin Covid-19 di bawah PICKids.
Bagaimanapun, keputusan menetapkan tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei lalu dikekalkan dan tempahan janji temu tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut.
Selepas tarikh ini, vaksin kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di negara ini, manakala vaksin Coronavac pula hanya boleh diperoleh dengan bayaran di fasiliti swasta.
Keputusan ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada tahun 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei.
Langkah menamatkan PICKids dibuat berikutan trend permintaan vaksinasi ibu bapa serta penjaga terhadap kanak-kanak yang semakin menurun.
Sementara itu, 96.6 peratus atau 3,006,147 remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama, dan 93.5 peratus atau 2,909,585 remaja lagi menerima dos kedua. Belum ada data menunjukkan remaja menerima dos penggalak.
Bagi populasi dewasa berusia 18 tahun dan ke atas pula, sejak PICK dilancarkan 24 Februari tahun lalu hingga semalam seramai 23,248,752 individu atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 22,972,728 atau 97.6 peratus lagi menerima dos kedua.
Sebanyak 68.3 peratus atau 16,080,331 individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.
Secara keseluruhannya sebanyak 70,799,796 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing, dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.