
Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 10 Mei 2022. - Sumber Covidnow KKM
Sebanyak 2,530,883 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan awal Februari lalu hingga semalam, 10 Mei 2022.
Daripada jumlah itu, 961,597 atau 27.1 peratus melengkapkan dua dos suntikan, manakala 1,569,286 atau 44.2 peratus lagi menerima dos pertama daripada vaksin dua dos.
Semalam sahaja seramai 14,594 kanak-kanak menerima dos kedua, sementara 8,931 menerima dos pertama.
Sementara itu, sejak PICK dilancarkan 24 Februari tahun lalu hingga semalam sebanyak 70,478,577 dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.
Daripada jumlah itu, 26,830,790 atau 82.2 peratus populasi melengkapkan suntikan dos kedua, manakala 27,811,381 atau 85.2 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Dalam tempoh itu juga sebanyak 62,051,089 dos telah diberikan kepada individu dewasa, dengan 22,969,639 atau 97.6 peratus melengkapkan dos kedua, dan 23,245,044 atau 98.8 peratus lagi menerima dos pertama.
Seramai 16,049,816 atau 68.2 peratus daripada populasi dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.
Sementara itu, 5,896,605 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun, dengan 2,899,554 atau 93.2 peratus melengkapkan dos kedua, dan 2,997,051 atau 96.3 peratus lagi menerima dos pertama.